Oleh MELATI MOHD ARIFF

Rosmawati Zainal, pengarah Raudhatus Sakinah, rumah bimbingan remaja puteri menunjukkan risalah program “Anda Bijak Jauhi Zina.” – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kes 1: Ketika kawan-kawan sebaya usianya tekun mentelaah pelajaran, Ira (bukan nama sebenar) leka mencari teman lelaki dan menjalin hubungan cinta.

Ibu dan ayah Ira sudah lama tidak tinggal sebumbung. Sementara ibu asyik menjalin hubungan sulit, Ira yang dahagakan kasih sayang seorang ayah, kecundang dengan pujukan teman lelaki yang diharap akan menjadi teman hidupnya.

Dalam usia 14 tahun, Ira hamil dan bakal menjadi ibu.

Kes 2: Is (bukan nama sebenar) tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berbadan dua.

Dia mula menjadi liar ketika di tingkatan dua dan kerap bertukar teman lelaki. Lelaki yang menghamilkannya mungkin teman lelakinya yang keenam atau ketujuh.

Seorang yang pendiam, Is mempunyai ayah yang boleh dikategorikan seorang yang garang, justeru tidak hairanlah remaja ini mencari perhatian dan kasih sayang daripada kaum Adam di luar rumah.

Kes 3: Mila (bukan nama sebenar) berasal dari kawasan luar bandar, sebuah negeri di utara tanah air. Ayah dan ibunya sudah bercerai. Keadaan hidup keluarga yang tidak tenteram membuatkan remaja ini menyertai kumpulan Black Metal. Usianya ketika itu cuma 11 tahun!

Apabila menjadi anggota kumpulan Black Metal, remaja yang memiliki rupa paras yang cantik ini mula ponteng sekolah dan berubah sehingga menjadi kasar dan liar.

Berzina, ambil dadah, ‘kaki pukul’, Mila terus lemas bergelumang dengan noda dalam usia yang begitu muda.

LAGI CONTOH KES

Kes 4: Aida (bukan nama sebenar) ialah seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang sering menjadi contoh teladan untuk adik-adiknya. Ibunya seorang yang lemah lembut sementara ayahnya pendiam dan garang.

Rindukan belaian kasih sayang ayah membuatkan Aida mencari kenalan menerusi “chatting room” di Internet.

“Habis madu sepah dibuang”. Begitulah nasib Aida, jejaka idamannya menghilangkan diri apabila dirinya hamil. Hanya deraian air mata ibu mengiringi remaja ini untuk membina semula kehidupan dengan penuh keinsafan!

JALAN PULANG

Ira, Is, Mila dan Aida hanyalah contoh kecil remaja yang menjadi mangsa gejala sosial. Mereka terjerumus ke dalam kancah aktiviti tidak sihat dalam memburu erti kehidupan, kasih sayang dan identiti diri.

Meskipun kehidupan muda mereka digelapi pelbagai krisis, mereka ini akhirnya menemui ‘penyuluh’ untuk kembali ke pangkal jalan di Raudhatus Sakinah (RS), rumah bimbingan remaja puteri di bawah kendalian Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (WJIM).

Di RS, remaja yang dalam lingkungan usia 12 hingga 25 tahun ini diberi bantuan dan bimbingan untuk mengembalikan keyakinan serta keupayaan diri supaya mereka mampu bangkit dan membina kehidupan baru sebagai individu yang berguna untuk agama dan masyarakat.

Mula beroperasi Ogos 1998, RS ditubuhkan kerana terdapat keperluan mendesak menyediakan rumah perlindungan khususnya untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hamil anak tidak sah taraf.

“Anak-anak ini tidak tahu ke mana hendak pergi. Ada yang mengandung kerana tunang, teman lelaki dan kebanyakan mereka dari sekitar Lembah Klang. Mereka ini sememangnya takut tetapi tidak langsung terfikir mahu menggugurkan kandungan.

“Di peringkat awal, kami beri perlindungan dan bimbingan untuk tempoh enam bulan kerana anak-anak ini boleh mengambil cuti satu semester untuk bersalin dan kemudian boleh menyambung semula pelajaran.

“Sekarang program ini dilanjutkan kepada minimum 13 bulan. Anak-anak remaja yang terjebak kian liar daripada yang pernah kami bimbing dulu. Rata-rata ponteng atau tak pergi ke sekolah atau IPT. Mereka tak peduli pun tentang pelajaran melainkan hanya fokus kepada keseronokan dan kebebasan.

“Pada bulan terakhir kami adakan bimbingan intensif fardu ain dan dalam tempoh itu juga kami berbincang dengan ibu dan ayah cara terbaik untuk anak mereka meneruskan kehidupan selepas keluar dari rumah perlindungan ini,” kata Pengarah Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Taman Melawati di sini baru-baru ini.

KEJUTAN BUDAYA

Daripada kes pelajar IPT, RS kemudian menerima kes yang melibatkan pelajar sekolah termasuk remaja yang pernah menggugurkan kandungan, menjadi mangsa gejala sosial lain termasuk merempit, ‘penkid’, black metal, liar dan seks bebas, kes rogol dan sumbang mahram.

Bagaimanapun, kebanyakan kes yang dikendalikan RS ialah anak-anak yang dibawa atas inisiatif ibu bapa setelah berbincang dengan pihak sekolah, IPT, hospital, polis atau jabatan kebajikan masyarakat.

Hanya sebahagian kecil dirujuk atas perintah mahkamah iaitu antara lima atau enam kes setahun. Untuk kes-kes ini, remaja yang terlibat akan diletakkan di RS bagi tempoh bimbingan dua tahun.

Rosmawati menyifatkan remaja yang tersasar sebahagian besarnya kerana kejutan budaya.

Mulai tahun 2000, anak remaja, katanya mula terpengaruh dengan keinginan mahu kebebasan.

Gejala itu mudah menular dalam kalangan anak-anak sekolah yang melangkah ke tingkatan empat, yang sering digelar tahun berbulan madu.

“Masa itu cabaran cukup hebat bagi kami kerana budak-budak ini sudahlah tahap kesedaran mereka rendah. Pada mereka hanya mengandung itu dosa besar. Asalkan mereka tak mengandung tak mengapa, mengapa orang lain nak kisah.

“Budak-budak ini sebenarnya bijak dan kreatif tetapi sayangnya menyalahgunakan kebijaksanaan mereka dan terlalu menurut hawa nafsu,” jelasnya.

SUKA PADA KESERONOKAN

Rosmawati turut berpendapat remaja mangsa gejala sosial terdedah dengan persekitaran yang tidak baik termasuk keluarga dan kelompok sahabat.

“Bila terdedah kepada persekitaran yang tidak baik maka senanglah budaya yang tidak sihat menyerap masuk. Budak-budak ini hendakkan kebebasan, tidak suka disuruh buat itu dan ini. Dalam keadaan itu, mulalah mereka mencari suasana yang paling selesa dengan dia.

“Inilah yang dinamakan budaya hedonisme iaitu budaya suka kepada keseronokan. Budaya ini sebenarnya telah menjadi anutan dan pegangan anak-anak muda berbanding dengan golongan tua yang lebih cenderung kepada agama,” jelasnya.

Rosmawati berpandangan keadaan itu berlaku kerana kurang atau tiada bimbingan agama yang sepatutnya diterapkan oleh institusi keluarga.

“Keluarga jika tidak memainkan peranan inilah akibatnya,” keluh beliau sambil menambah kebanyakan remaja yang menjadi penghuni RS berpunca daripada ibu dan ayah mereka sendiri yang lemah dari segi kemahiran keibubapaan.

SIKAP IBU AYAH

Lazimnya ibu bapa beranggapan mereka sudah melaksanakan kewajipan jika telah menyediakan segala keperluan atau memberi kemewahan kepada anak-anak.

“Bila kita bertemu dengan anak-anak ini mereka sering berkata emak atau ayah mereka terlalu garang dan tak pernah nak dengar apa yang mereka hendak cakap.

“Ada juga emak ayah yang tidak menjaga dari segi solat. Emak ayah tak solat, macama mana mereka hendak solat? Ada juga emak ayah yang sibuk dengan karier, anak-anak kurang perhatian dan ini menjadikan mereka terumbang-ambing mencari sokongan di luar,” kata Rosmawati.

Satu lagi faktor yang menjerumuskan anak remaja ke kancah gejala sosial ialah menyalah gunakan kebebasan yang diberi ibu bapa.

“Emak ayah bila anak sudah masuk ke IPT mereka biarkan anak-anak dengan andaian anak mereka sudah dewasa. Ini menyebabkan anak menjadi liar dan bebas kerana berfikir emak sudah bagi kebebasan dan terpulang kepada mereka untuk buat apa yang mereka suka,” katanya.

DIDIK ANAK

Natijahnya anak-anak yang dilahirkan bagaikan kain putih memerlukan asuhan dan bimbingan yang sempurna, khusus daripada ibu dan bapa sebagai tonggak utama institusi keluarga.

Rosmawati melihat tiga tahap mendidik anak yang perlu diberi penekanan, seperti yang digariskan Saidinia Ali ra (khalifah keempat Islam).

Tahap pertama, anak yang baru lahir sehingga ‘mumaiyiz’ (enam tahun), bermain dengan mereka dan belailah dengan sepenuh kasih sayang.

Tahap kedua, anak berusia tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun), hendaklah mendidik mereka dengan disiplin dan diberi tanggungjawab.

“Biasakan anak-anak membuat kerja-kerja kecil seperti membuang sampah dan menyusun kasut. Bagi pujian bila mereka lakukan tugas dengan baik dan tegur dan tunjuk jika tidak dibuat seperti sepatutnya. Anak-anak sebenarnya seronok bila disuruh buat sesuatu. Apa yang berlaku emak ayah lebih suka memberi arahan tapi tak beri tunjuk ajar,” jelas Rosmawati.

Tahap ketiga, tambah beliau, untuk anak berusia 15 tahun hingga dewasa, hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat.

“Hormati dan hargai pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat. Jadikan anak kita sebagai rakan karib kita, nescaya kalau dia ada masalah dia akan datang kepada kita.

“Beri dorongan dan panduan. Ajak berbincang. Kenali juga rakan-rakan mereka. Anak-anak kalau dia bahagia di rumah, dia akan lebih seronok berada di rumah. Kalau dia keluar rumah pun dia akan beritahu emak dan ayahnya. Keakraban dengan emak dan ayah begitu kukuh,” kata Rosmawati.

PROGRAM DI RS

RS kini mempunyai empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor.

Setakat ini RS Selangor boleh menampung sehingga 30 penghuni, RS Kelantan yang dibuka pada 2004 boleh menerima maksimum 25 orang sementara RS Pulau Pinang yang memulakan operasi pada 2006 boleh menerima sehingga 15 orang.

Lokasi terbaharu RS ialah di Johor, dibuka pada 2007 dan boleh menampung hanya 20 orang.

Menurut Rosmawati, apa jua kes yang dirujuk ke RS mesti dengan pengetahuan dan komitmen ibu dan ayah remaja berkenaan.

“Kita tidak mahu emak dan ayah yang lepas tangan. Memang anak mereka yang buat kesalahan tetapi emak dan ayah juga mesti bertanggung jawab.

“Anak-anak bukan lahir dengan sendirinya. Kita yang melahirkan mereka sebab itu kita di Raudhatus Sakinah memegang kepada konsep emak ayah mesti komited dalam program pemulihan dan bimbingan anak yang hendak dimasukkan ke sini.

“Raudhatus Sakinah bukan tempat untuk pembuangan dan bukan juga tempat untuk semata-mata tumpang letak remaja mengandung.

“Kita mahu bimbing mereka dan emak ayah perlu tahu masalah anak supaya selepas bimbingan emak ayah boleh pantau perjalanan kehidupan anak mereka supaya anak itu tidak mengulangi kesalahan yang sama atau mengelakkan anak yang lain terjebak dalam kancah gejala sosial,” tegasnya.

Memandangkan kebanyakan remaja yang masuk ke RS ialah mereka yang terlanjur dan mengandung dan semakin banyaknya kes buang bayi, RS melancarkan kempen “Anda bijak Jauhi Zina” bermula 2007.

Menurut Rosmawati, kempen yang dijalankan itu mensasarkan bukan sahaja remaja dan belia tetapi juga masyarakat.

“Orang mungkin fikir kempen ini keras kerana menggunakan perkataan zina tetapi seperti yang saya jelaskan dalam program saya, zina ini terkandung dalam Quran. Ini ialah perkataan Allah SWT dan mudah-mudahan bila disebut akan gementarlah hati-hati yang mendengarnya,” jelasnya. – BERNAMA

sumber : TheStar