Shoutul Harokah tawan 'Lifeline 4Gaza'
KUALA LUMPUR, 30 Mac - Jarang kita melihat sebuah konsert nasyid dapat mengawal mood penonton dengan begitu baik sekali sehingga hampir seluruh persembahan dihayati dan khalayak turut mengambil bahagian. Tetapi itulah yang berlaku dalam konsert 'Lifeline 4Gaza' di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, di sini baru-baru ini.
Kumpulan nasyid Indonesia yang cukup popular dengan lagu-lagu perjuangan, Shoutul Harokah bersama Muadz dan kumpulan Daie berjaya memukau penonton dengan persembahan bertenaga mereka. Bermula selepas solat Isyak, konsert dimulakan dengan tilawah al-Quran oleh Baihaqi Shabaruddin yang membaca ayat-ayat dari surah al-Anfal. Pengacara majlis yang turut bersemangat seterusnya menjemput Ustaz Abdul Halim Zakaria yang mewakili Imam Besar untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyatakan rasa terharu apabila melihat sebahagian besar yang menghadiri program tersebut adalah anak-anak muda dan berasa seronok kerana masjid diimarahkan.
Konsert 'Lifeline 4Gaza' atau 'Talian Hayat untuk Gaza' ini dianjurkan oleh gabungan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Haluan Palestin. NGO lain yang terlibat adalah Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Aqsa Syarif, Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Kelab Siswa Haluan Malaysia dan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA). Ia adalah salah satu program yang dijalankan dalam usaha mengumpul dana dengan sasaran RM10 juta untuk disalurkan ke Gaza.
Sepanjang konsert, persembahan nasyid diselang seli dengan bacaan sajak, pertunjukan slaid dan kata-kata yang menaikkan semangat jihad. Laungan takbir, kata-kata 'Hidup Islam!' dan 'Hancur Zionis!' mewarnai malam yang gilang-gemilang itu. Tidak lupa pujian diberikan kepada dua percussionist yang hebat.
Bait-bait puisi 'Palestina Untukmu' dideklamasikan oleh Abd Rashid Abd Rahman, diikuti Muzakir Che Ali yang melontarkan suara hatinya, 'Rayuan Insani'.
Penonton yang 90% terdiri daripada belia dan remaja mula teruja apabila enam anak muda dari kumpulan nasyid tempatan, Daie tampil ke pentas. Daie menyampaikan dua buah lagu, 'Islam yang Telah Berkembang' dan 'Ar-Ruhul Jadid' sebelum menjemput Muadz menyertai mereka. Muadz dan Daie kemudian berduet mendendangkan lagu 'Wahai Kawan'.
Menguasai pentas secara solo, Muadz yang terkenal dengan lagu-lagu hadis dan perjuangan, seperti biasa menyelitkan kata-kata nasihat, mengajak penonton agar tidak lupa dengan nasib umat Palestin. Beliau berjaya menghidupkan dewan apabila mengajak remaja dan anak-anak yang memegang bendera beraksi bersamanya di atas dan di hadapan pentas. Lagu-lagu daripada album sulungnya, 'Amrullah' dan 'Stand Up' bergegar dan mendapat sambutan hangat.
Sebelum meminta diri, Muadz membuat sedikit kejutan dengan satu acara santai apabila menjemput dua orang 'otai' nasyid yang terkenal dengan lagu-lagu perjuangan sekitar 80-an iaitu Abu Along dan Abu Nasim. Dengan bantuan dua bekas ahli kumpulannya, Abdul Aziz Nordin dan Muhammad Ameen Kamaruzaman daripada Al-Masar, mereka mendendangkan sebuah lagu nostalgia, 'Al-Aqsa' yang telah ditulis dan dinyanyikan oleh kedua-dua 'otai' tersebut pada tahun 1988.
Konsert 'Lifeline 4Gaza' sampai ke kemuncaknya apabila nama Shoutul Harokah dipanggil sambil disahut sorakan daripada para penonton. Sambil menyatakan rasa bangganya diundang ke Malaysia, lima pemuda dari Bandung, Indonesia ini mula membakar semangat jihad dengan lagu-lagu hit mereka, 'Bingkai Kehidupan', 'Inilah Langkahku', 'Al-Ardulana wal-Qudsulana' dan 'Untukmu Palestina'. Lagu 'Merah Saga' yang menjadi lagu terakhir pula ditujukan khas kepada pejuang Islam Palestin yang telah syahid seperti Syeikh Ahmad Yasin dan Abd al-Aziz Rantissi.
Menarik apabila melihat kesemua lagu yang disampaikan oleh kumpulan ini dinyanyikan bersama oleh sebahagian besar penonton, menunjukkan Shoutul Harokah dan lagu-lagu jihadnya memang dekat di hati generasi muda Malaysia yang tidak rela melihat bumi suci al-Quds dinodai.
Persembahan ditutup dengan sebuah lagu yang menggabungkan Shoutul Harokah, Muadz dan Daie sebelum bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Abdul Rahim Abdul Wahab.
Menurut pengarah program, Khalid al-Walid Mustafa Kamil (gambar), idea mengadakan konsert ini timbul apabila mereka menghubungi Shoutul Harokah dan mendapat respons yang baik daripada kumpulan tersebut. Bagaimanapun, usaha tersebut bermula hanya tiga minggu lepas, satu tempoh yang singkat untuk sebuah konsert.
"Alhamdulillah, dengan bantuan daripada pelbagai NGO lain, promosi dilakukan dengan intensif dalam internet menerusi 'e-mail blast' dan laman web. Hasilnya, sebanyak 2000 tiket berharga RM10 dan RM30 habis dijual," kata Khalid.
Kesemua hasil jualan tiket tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung 'Lifeline 4Gaza' dan jumlah akhirnya nanti akan dibawa ke Gaza mengikut jalan laut menerusi sebuah pertubuhan kebebasan dan kemanusiaan yang berpangkalan di Turki.
"Konsert ini adalah yang pertama melibatkan Shoutul Harokah. Tujuan utama konsert ini adalah untuk mengumpulkan dana Palestin. Shoutul Harokah yang datang ke sini pula ditaja sepenuhnya oleh Haluan Malaysia. Insya-Allah, kumpulan nasyid ini telah pun menyatakan persetujuan untuk terus berkolaborasi dengan kami pada masa-masa akan datang, dan mungkin artis-artis lain dari Indonesia juga akan dijemput," tambahnya.
Ditanya mengapa penonton konsert ini majoritinya remaja dan belia, Khalid berkata, "Sasaran utama konsert ini memang pemuda, remaja dan adik-adik kecil. Kami hendak meniupkan semangat jihad dalam roh mereka. Berhibur tidak salah, tetapi mestilah untuk memartabatkan agama Allah dan mengangkat kalimah-Nya. Sebab itu bagi saya tidak kisah kalau mereka hendak melompat atau berlari seperti yang kita saksikan pada malam ini, asalkan hiburan ini dapat menguatkan hubungan dengan Allah dan menghidupkan roh jihad. Program seperti ini memberi impak yang besar kepada anak muda dan memperkukuh jati diri mereka."
Memang benar, sewaktu persembahan, teruja melihat anak-anak lelaki menyanyi dengan penuh semangat, melompat, berlari serta mengibarkan bendera Palestin dan Malaysia, manakala yang perempuan turut menyanyi sambil menggenggam tangan dan menumbuk ke udara. Namun semua aksi tersebut sangat terkawal, dengan pengasingan antara penonton lelaki dan perempuan dibuat sejak awal lagi. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan konsert artis-artis yang dilakukan di Stadium Negara, PWTC atau di tempat-tempat lain.
"Kami akan terus mengadakan konsert seperti ini lagi dengan tempoh promosi yang lebih panjang, mungkin enam bulan. Insya-Allah, kalau promosinya mencukupi, kami yakin bukan setakat Stadium Melawati, Stadium Bukit Jalil pun boleh penuh," ujar Khalid lagi.
2 ulasan:
huhu..x leh pegy konsert ni aritu..
ble ade agy eh??
Sh0utul Harakah the best!
Catat Ulasan