Rabu, 6 Oktober 2010

:: Kami Nak Jadi Baik ::

Masih aku teringat dalam satu program di Bandar Johor Bahru , seperti biasa aku menjadi pengendali program. Namun pada hari tersebut kami kekurangan fasilitator, jadi terpaksalah aku menjadi fasilitator bagi satu kumpulan pelajar.

Setelah berinteraksi selama 2 jam sebagai pengendali, rasanya cukup untuk aku selesa sebagai fasilitator kumpulan pelajar ini, sejumlah enam orang pelajar lelaki. Aku bersembang dengan memperkenalkan diri ku dengan lebih terperinci. Setelah mesra dan selesa, kami duduk dalam kumpulan dengan lebih rapat, lebih akrab… sehingga aku mampu mengajukan sembang bertanya tentang solat mereka, siapa yang merokok, siapa yang tuang kelas, apakah dosa paling besar yg pernah dilakukan. Lanjutan dari itu aku terus bersembang.

Pak Lang: Siapa dari kalangan kalian yang pernah berzina?
Pelajar : Pernah; Pernah; Tidak; Pernah; Pernah; Tidak; …. (4 daripada 6 pernah berzina). (Dalam hati terasa sedih melihat wajah wajah ini, ada antara mereka wajah nya kelihatan begitu baik pekerti dan akhlak nya)
Pak Lang : Emak dan Ayah tahu tak apa yang korang dah buat ni
Pelajar : Tak; Tak; Tak; Ayah saya dah tak ada Pak Lang, emak tak tahu; Tak; Tak
Pak Lang : Apa perasaan korang SEKARANG bila korang kenangkan dosa dosa kalian tu… ada apa apa yg korang nak share apa perasaan korang sekarang

Keenam enam ni bercerita seorang demi seorang dalam keadaan kami duduk semakin rapat… seorang demi seorang menyuarakan kekesalan mereka. Air mata mereka mula menitis dan menitis dengan nada yang semakin sebak. Aku tertarik dengan kata kata seorang pelajar. “Pak Lang, kami ni bukan tak mahu jadi orang baik. Kami ni nak juga jadi orang baiktapi tak de orang yang nak cakap dan nasihat kami macam pak Lang buat ni.” Dengan nada perli dan marah terus dia menyebut “Yang selalu bercakap dengan kami hanya si gondong kat sekolah tu saja” (Si gondong yang dimaksudkan adalah guru disiplin di sekolah mereka)
Kami duduk semakin rapat. Aku mengajak mereka saling memeluk bahu dalam bulatan, dengan memberi pesanan pesanan. Aku terus menadah tangan berdoa di tengah bulatan pelukan kami dalam kumpulan, satu demi satu aku sebut nama mereka bahawa “ ya Allah, hamba mu mengaku segala dosa dan ingin bertaubat, nak kembali kepada mu.” Dapat aku rasakan tangan yang ku tadah untuk berdoa disirami air mata anak anak muda ini… dapat aku rasa vest yang ku pakai semakin basah. Hati semakin sebak. Habis berdoa aku minta mereka peluk sesama mereka dan beri kata semangat antara mereka. Salah seorang yang ketiadaan ayah lantas memeluk aku … “Pak lang, pak lang jadi lah ayah saya, nasihat kan saya selalu”. Ya Allah ampunkan dosa ku seandainya aku tidak mampu memenuhi harapan anak muda ini.

Pengajaran
Mereka yang bergelumang dengan maksiat ni sebenarnya bukan tidak mahu kepada kebaikan. Mereka perlu didampingi, ditemui, dinasihati. Mereka pun nak kembali kepada fitrah jadi orang baik.
Berdakwahlah dengan penuh kasih sayang.
Keadaan masyarakat dan adakala nya di sekolah keadaan itu tidak membantu malah boleh menjauhkan mereka dari kebaikan.

Renungkan .... adakah kita telah menjadi insan bermanfaat kepada mereka yang dahagakan peringatan, nasihat dan dakwah dari kita.

Tiada ulasan: